Membongkar mitos dan naratif banjir pembangkang – Ahmad Zahid

0
3

ISU banjir digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) hanya untuk mengelak Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden Umno mendakwa, kebimbangan sebenar pembangkang ialah apabila pengundi Melayu yang mewakili populasi negara terbesar kurang berminat untuk menyokong gabungan itu ketika gendang pilihan raya dipalu BN.

“Pembangkang semakin hangat menggunakan isu banjir untuk mengelak pilihan raya umum diadakan. Terdapat juga segelintir anggota kerajaan terpengaruh dengan dakyah ini tanpa menilai perspektif yang meluas.

“PH hampir menemui jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan selain memerlukan lebih banyak masa. Dengan kata lain, PH cuba “membeli masa” untuk melengahkan pilihan raya umum diadakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, hantaran kali ini adalah bertujuan membongkar mitos dan naratif banjir yang kini dimainkan pihak pembangkang dalam usaha mengelak PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan laporan sebuah portal yang memetik sumber mendakwa pemimpin gabungan itu diberitahu agar membangkitkan isu seperti bencana banjir dan kenaikan inflasi bagi mengelak Parlimen dibubar dalam masa terdekat.

“Malah portal tersebut menyatakan beberapa badan pemikir ditugaskan untuk menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi terhadap PH dan dijemput membentangkan penemuan mereka.

“Daripada pembentangan data daripada tinjauan berasingan tersebut didapati penemuan utama ialah sokongan Melayu terhadap PH berada pada tahap paling rendah.

“Tinjauan tersebut turut mendapati PH tidak akan mendapat lebih daripada 15 peratus undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan kata lain keputusan PRU-15 tidak akan memihak PH disebabkan undi Melayu akan beralih arah kerana pemulihan dan kebangkitan Umno.

“Yang paling aneh tidak pula dibentangkan fakta mengenai banjir dan strategi untuk menyantuni rakyat ketika banjir melanda. Tidak pula dibentangkan strategi menangani inflasi untuk Malaysia yang kini melanda seluruh dunia.

“Sebaliknya pembangkang hanya lebih berminat untuk cuba memikirkan strategi untuk menang PRU daripada memikirkan masalah rakyat dalam pemukiman tersebut,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan sikap sebenar pembangkang, namun anehnya terdapat sekutu bersama Umno masih terpedaya dengan dakyah pembangkang itu.

“Atau mereka sebenarnya ada motif mereka sendiri yang mereka sendiri untuk melengahkan pilihan raya umum sebelum musim tengkujuh bermula.

“Saya akan perincikan lagi mitos dan dakyah naratif musuh politik kita dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here