JSJN Johor lupus dadah bernilai RM6.11 juta

0
3

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor akan melupuskan dadah sebanyak 301.54 kilogram (kg) dan 642.37 liter cecair dadah keseluruhannya bernilai RM6.11 juta membabitkan kes yang selesai perbicaraan mulai 2002 hingga tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pelupusan pelbagai jenis dadah itu akan dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, pada hari ini.

Menurutnya, antara dadah dilupuskan adalah heroin 41.79 kg, kanabis (20.21kg), ketamin(2.49kg), methamphetamine (9.90kg), methylenedioxy methamphetamine (25.45kg), daun ketum (192.03kg) serta dadah lain seberat 9.65kg dan 642.37 liter.

“Semua dadah ini akan dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pada tahun lalu, JSJN Johor berjaya melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 1,765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan maklumat boleh disalurkan menerusi hotline JSJN 012-2087222, – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here