Tubuh badan bebas aduan, salah laku polis – Salahuddin

0
2

SATU badan bebas aduan dan salah laku polis perlu ditubuhkan segera bagi mengekang kegiatan tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata baru-baru ini Malaysia dihangatkan dengan berita salah laku polis berkaitan pengubahan wang haram yang dipercayai turut melibatkan lapan pegawai kanan polis.

“Saya melahirkan kebimbangan terhadap salah laku yang berlaku dalam kalangan polis. PDRM adalah badan yang dihormati dan rakyat bergantung kepada integriti PDRM bagi menjamin keselamatan dan keamanan negara.

“Kita bukan mahu mencari salah polis. Kita mahu integriti PDRM terus dijaga dan menjadikan PDRM sebuah badan yang dihormati dan dapat berkhidmat secara amanah terhadap negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu juga menegaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah dibentangkan pada bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Bagaimanapun, RUU tersebut ditarik balik untuk ditambah baik selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang membuat pendengaran awam bersama kakitangan polis di beberapa negeri.

“Walaupun Perikatan Nasional (PN) cuba menggantikannya dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), saya berpendapat ia tidak dapat dilaksanakan secara berkesan memandangkan terdapat peruntukan yang mewajibkan IPCC memberi notis awal sebelum apa-apa lawatan atau semakan terhadap PDRM,”ujarnya.

Katanya, sudah tentu secara logik, prosedur itu mempengaruhi proses siasatan yang mana mereka yang bersalah mempunyai peluang untuk menutup kesalahan mereka.

“Kita sayang PDRM. Kita tidak mahu skandal kewangan atau apa-apa salah laku berlaku dalam kalangan polis yang turut mejejaskan imej PDRM,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, empat pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Selangor antara lapan individu ditahan dalam satu operasi khas agensi antirasuah.

Mereka dipercayai ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram dan Macau Scam yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – Malaysiapost