BERSATU mesti memastikan ia mempunyai tawaran yang jelas untuk rakyat, kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, bercakap mengenai keburukan atau kelemahan orang lain belum cukup untuk membawa kemenangan kepada Bersatu.
“Sebaliknya, Bersatu mesti jelaskan apa yang kita tawarkan berbeza dengan orang lain. Dan sebenarnya memang ada pembeza yang jelas.
“Umno telah menjadi sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata. Fokus mereka masih lagi merompak harta rakyat.
“Ini disebut jelas oleh Ahmad Zahid Hamidi apabila dia menggesa supaya orang Umno ‘ambil mana-mana yang sempat’ semasa ada kuasa. Mentaliti rasuah dan kleptokrasi mengakar kukuh dalam Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Manakala, kata Wan Saiful, Pakatan Harapan pula gabungan parti-parti yang mendokong ideologi kiri.
“DAP dan PKR jelas melaungkan agenda kiri berteraskan sosialisme. DAP hingga hari ini perkaderannya mesti melalui DAP Socialist Youth.
“Agenda kiri yang mereka bawa amat tidak sesuai untuk negara kita yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman dengan prinsip kebebasan dan keadilan sebagai terasnya,” katanya.
Justeru, beliau berkata, ini membuka ruang untuk Bersatu memposisikan parti sebagai parti pertengahan kanan.
” Ekonomi berteraskan perdagangan dan perniagaan. Sosiopolitik berteraskan konservatisme yang berpegang dengan agama dan adat tatasusila kita sebagai orang Timur.
“Dan penjagaan kebajikan rakyat berdasarkan semangat kekeluargaan dan kemakmuran yang dikongsi bersama oleh warga pelbagai kaum dan agama.
“Perkara ini saya utarakan semasa merasmikan Taklimat Tertutup Jentera Pilihan Raya Bersatu Lembah Pantai hari ini,” katanya. – Malaysiapost

