PM mendaulatkan Bahasa Melayu, kehebatan Malaysia tidak berkurang

0
2

TIDAK ada sebab kita perlu merasa rendah diri apabila menyampaikan ucapan dalam Bahasa Melayu di persada dunia, kata Datuk Mustapha Yaakub.

Setiausaha Agung Veteran Umno itu berkata, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap menggunakan Bahasa Melayu di pentas persidangan UNGGA77, New York, Amerika Syarikat patut menjadi kebanggaan Malaysia.

“Kita berbahasa Melayu bukan kita tidak fasih berbahasa Inggeris, tetapi sebagai bangsa yang bermaruah meletakkan bahasa kita di tempat sepatutnya bersama bahasa lain kerana Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk dunia.

“Veteran Umno ingin menyatakan rasa bangga dan tahniah kepada Perdana Menteri dan berharap ia menjadi ikutan kepada Perdana Menteri yang seterusnya.

“Setelah berdekad menunggu Bahasa Melayu dimartabatkan di PBB, akhirnya Ismail Sabri merealisasikan dengan gahnya apabila beliau menyampaikan ucapan 20 minit di UNGA77 di New York pada 24 September, 2022 dalam Bahasa Melayu,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, langkah berani Perdana Menteri itu membuktikan dunia boleh menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa setanding dengan Bahasa Inggeris, Perancis, German, Arab dan China.

“Tidak berkurang kehebatan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang disegani dan dihormati dunia apabila Perdana Menteri menyampaikan ucapannya dalam bahasa ibunda.

“Ini bermakna negara Indonesia dan Brunei boleh menggunakan bahasa Melayu dalam apa sahaja ucapan dan perbahasan di semua seminar di peringkat antarabangsa dan serantau,” katanya.

Justeru, Mustapha berharap tindakan Ismail Sabri itu dicontohi dan diteruskan semua pihak dalam mendaulatkan Bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

“Veteran berharap semua menteri-menteri yang menghadiri persidangan di luar negara mesti menggunakan Bahasa Melayu dalam ucapan mereka seperti yang ditunjukkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu persidangan di Britain tidak lama dulu.

“Veteran juga berharap semua pihak yang terlibat dengan perkembangan bahasa Melayu seperti DBP, GAPENA, Institut-Institut Bahasa, kementerian, jabatan dan semua pihak akan dapat meneruskan usaha murni Perdana Menteri untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dan antarabangsa,” – katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here