Inflasi: Pengurusan ekonomi kerajaan lemah – Guan Eng

0
2

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menyifatkan pengurusan ekonomi kerajaan lemah dan mengecewakan susulan kenaikan kadar inflasi tahunan Malaysia ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Katanya, kenaikan itu adalah sebanyak 4.7 peratus pada Ogos berbanding 4.4 peratus pada Julai, manakala inflasi makanan meningkat sebanyak 7.2 peratus berbanding 6.9 peratus pada bulan sama.

Guan Eng berkata, kenaikan inflasi itu disebabkan kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed menguruskan ekonomi dan Tan Sri Annuar Musa mengawal inflasi.

Beliau berkata, kegagalan Annuar sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Kabinet Jihad Tangani Inflasi yang dibentuk pada Jun lalu telah menyebabkan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mengakibatkan peminjam terpaksa membayar kos faedah lebih tinggi.

“Memandangkan kenaikan OPR kepada 2.5% dibuat sebelum data inflasi terkini bulan Ogos dilaporkan, Bank Negara dijangka menaikkan lagi OPR menjelang November tahun ini dan Januari tahun depan kepada 3%.

“Ini sekali gus mengenakan beban kewangan yang lebih berat kepada rakyat Malaysia dan perniagaan. Melainkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Ismail Sabri menukar pengurus ekonomi dan pejuang inflasi yang telah gagal, rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung lebih banyak penderitaan daripada segi kewangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Guan Eng berkata, selain gagal mengawal kenaikan inflasi dan kenaikan harga makanan, Annuar juga secara tidak bertanggungjawab memperkecilkan penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS sebagai sementara sahaja.

“Bagaimanakah penurunan itu boleh bersifat sementara apabila dolar AS telah jatuh ke paras terendah baru di dalam 24 tahun kepada RM4.58 hari ini?

“Penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS sekarang bukanlah bersifat sementara kerana ringgit telah melemah hampir 10% tahun ini daripada RM4.17 pada akhir 2021.

“Rakyat Malaysia terpaksa membayar kos import yang lebih tinggi dan kerajaan membayar balik pinjaman di dalam denominasi AS dengan lebih tinggi, terutamanya pinjaman 1MDB AS$6.5 bilion, yang pastinya tidak bersifat sementara kerana kerugian ini tidak dapat didapatkan kembali,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Annuar sebagai salah dalam memberi gambaran bahawa penurunan nilai ringgit hanya melibatkan dolar AS.

Menurutnya, ringgit juga turun berbanding dua lagi rakan dagang utama Malaysia, berbanding dolar Singapura, ringgit baru-baru ini merosot ke paras terendah di dalam sejarah kepada RM3.26 manakala rupiah Indonesia telah mengukuh lebih daripada 4 peratus tahun ini berbanding ringgit.

“Adakah mengetepikan penyusutan nilai ringgit sebagai bersifat sementara adalah satu alasan untuk tidak berbuat apa-apa.

“(Ini) kerana kerajaan tidak tahu apa yang perlu dilakukan atau kerajaan terlalu malas untuk memberi perhatian kepada cadangan bagi melaksanakan reformasi struktur ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here