‘Tanpa saya, Umno lebih mudah diperkotak-katikkan’ – Zahid

0
2

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa cubaan menolaknya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dibuat kerana pihak berkenaan sedar bahawa parti itu mudah diperkotak-katikkan tanpa kehadiran beliau.

Menurut Ahmad Zahid, selama ini mereka juga turut melabelnya dengan pelbagai persepsi negatif untuk memperlekeh, memperkecil dan menolak Umno secara keseluruhan.

Katanya, ia dapat dilihat apabila ada yang sengaja menggunakan label ‘kluster mahkamah’ kepada beliau namun tidak pula menggunakan label sama kepada pemimpin pembangkang.

“Sikap ‘double standard’ ini mencerminkan wajah sebenar musuh politik kita. Pengalaman saya dikenakan oleh musuh politik menjadikan saya lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut.

“Saya boleh maafkan tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau kekal berpendirian bahawa dirinya adalah mangsa pendakwaan terpilih ketika zaman Pakatan Harapan (PH).

Mengulangi kenyataannya, Ahmad Zahid berkata, beliau pernah diminta oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk lompat parti, bagi menyertai Bersatu dan membubarkan Umno.

“(Dr) Mahathir suruh saya maklumkan kepada ahli Umno supaya sertai Bersatu dan minta saya lupakan Umno. Secara tegas saya menolak dan menyatakan bahawa kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada Umni untuk menyertai parti Bersatu,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid lagi, sebagai Presiden Umno beliau perlu tegas dan tidak goyang dengan ancaman politik serta berpendirian ‘jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’.

“Hakikatnya, saya tetap berjuang mempertahankan Umno setelah diberikan kepercayaan oleh akar umbi seluruh pelusuk negara untuk menjalankan tugas sebagai Presiden.

“Maka, saya tidak gentar mempertahankan Umno walaupun berdepan pelbagai ugutan dan ancaman politik.

“Saya tetap istiqamah meskipun ketika itu ramai pemimpin Umno sendiri menjauhi Umno kerana percaya dakyah (Dr) Mahathir bahawa Umno tidak ada masa depan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengakui Umno tidaklah 100 peratus sempurna, namun ia adalah parti terbaik di kalangan parti berteraskan Melayu Islam dan semangat Malaysia sebenar.

“Kini Perdana Menteri adalah daripada Umno dan fasa seterusnya InsyaAllah berkat doa dan perjuangan berterusan Umno akan kembali dominan dalam membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Marilah kita bersama-sama bangkit, melonjakkan momentum, bergerak secara bersepadu dan merapatkan barisan kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here