PELAWAK kontroversi Shuk Sahar sah telah bercerai dengan isterinya Rossa Sera.
Bahtera rumahtangga yang dibina sejak 2015 akhirnya musnah dan perkara itu telah disahkan Rossa menerusi klip video di laman TikTok miliknya, hari ini.
Isteri kepada bekas penyampai radio Hot FM itu mendedahkan segala kemelut rumah tangga mereka berdua akhirnya selesai menerusi perceraian.
Bagaimanapun, tiada penjelasan terperinci daripada Rossa bila tarikh perceraian itu berlaku.
“Semoga Shuk jadi ayah yang terbaik walaupun kita sudah tidak bersama,” katanya.
Sera atau nama penuhnya Rossalennah Natassyiah Asshaferah juga berterima kasih atas usaha Shuk, 36, yang tidak lupa memberikan kasih sayang yang terbaik buat kedua-dua anak mereka selama ini.
Justeru, walaupun sudah tidak bergelar suami isteri, Sera tetap berharap mereka dapat membesarkan Nur Qurratu Ain, 5 dan Nur Assyifatu Aimi, 2 tahun dengan baik.
“Sama-sama kita jaga hubungan untuk amanah ni ya. Terima kasih sentiasa cuba jadi ayah yang terbaik. Amanah yang menjadi bukti cinta kita dahulu. Kita besarkan mereka sama-sama tau,” katanya.
Dalam klip video itu, memaparkan kemesraan Shuk melayan anak-anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kapsyen bertulis: “Selamat pulang Shuk.”
Rumah tangga Shuk dan Rossa sebelum ini dilapor berantakan susulan gangguan orang ketiga yang mengakibatkan Shuk berlaku curang terhadap isterinya.
Krisis rumah tangga pasangan itu memuncak sehingga menyebabkan Shuk atau nama sebenarnya Shukri Mohamed Sahar digantung tugas sebagai penyampai radio di Hot FM berkuatkuasa 18 Februari tahun lalu.
November tahun lalu, Rossa mendedahkan sudah tidak tinggal sebumbung selama sebulan dengan Shuk serta mereka dalam proses mendapatkan perceraian.
Manakala Shuk seolah-olah memberi bayangan bahawa rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi apabila memuat naik sebuah klip video memaparkan kehadirannya di mahkamah.
Dalam klip video terbaru ini, Rossa juga turut berharap bekas suaminya itu memperoleh apa yang diinginkannya selama ini.
“Semoga awak dapat ketenangan,” katanya. – Malaysiapost

