MALAYSIA dan Palestin akan terus meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dengan memetrai empat memorandum persefahaman, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismalil Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, ia melibatkan penubuhan mesyuarat jawatankuasa bersama serta memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan, pelancongan dan hal ehwal Islam.
“Saya turut mengulangi komitmen Malaysia untuk terus mendokong perjuangan dan hak Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas sebelum menyampaikan Kenyataan Negara di Debat Umum sempena Perhimpunan Agung ke-77 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia sejak sekian lama tidak sama sekali menyokong Israel di mana-mana pertubuhan antarabangsa sehingga Palestin mendapat hak sebagai negara berdaulat.
“Malaysia turut menyokong proses perdamaian Israel dan Palestin serta penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia juga mengalu-alukan rakyat Palestin untuk menyambung pelajaran di negara ini terutama dalam bidang-bidang penting yang dapat membantu pembangunan semula Palestin.
“Sehingga kini, terdapat 800 pelajar Palestin di universiti terkemuka di Malaysia dan mereka meneruskan pelajaran dalam pelbagai bidang termasuk teknikal dan kejuruteraan,” katanya. – Malaysiapost

