Kerajaan Johor tidak pernah menidakkan kepentingan Akta Anti-Lompat Parti

0
3

MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), pihak pembangkang kini semakin banyak menabur fitnah untuk menyemarak perasaan benci rakyat terhadap kerajaan.

Beliau berkata, terbaru tomahan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada parti DAP yang mendakwa kerajaan negeri Johor membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Barisan Nasional (BN) menolak Enakmen Anti-Lompat Parti.

“Semakin dekat kita menghampiri PRU-15 semakin banyak fitnah, tohmahan dan penipuan yang dilakukan oleh pembangkang untuk menyemarak perasaan benci rakyat terhadap kerajaan.

“Antara buktinya ialah posting oleh Ahli Parlimen Kluang daripada parti DAP ini, yang ternyata adalah satu lagi contoh penipuan pembangkang dalam usaha menghasut rakyat mengenai Enakmen Anti-Lompat Parti,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau mengulas mengenai ciapan Shu Qi di Twitter semalam yang mendakwa kerajaan BN yang menguasai 37 daripada 56 kerusi DUN Johor, menolak enakmen Akta Anti-Lompat Parti.

Onn Hafiz mempersoalkan sama ada pihak pembangkang di Johor tidak tahu atau buat-buat tidak tahu mengenai proses undang-undang negara berhubung perkara itu.

“Tidak tahu, bertanya. Malu bertanya sesat jalan. Jika tidak faham, infografik yang disediakan ada jelaskan di peringkat mana proses ketika ini.

“Kerajaan negeri tidak pernah menidakkan kepentingan Akta Anti-Lompat Parti. Sebaliknya, kerajaan negeri akan terus mengikuti proses dan saluran undang-undang yang betul dalam hal ini, bagi memastikan amalan demokrasi terjamin di Johor.

“Ini juga adalah komitmen BN Johor bagi melunaskan Ikhtiar BN yang diumumkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh lalu. Namun kita tidak perlulah hendak mendahului mana-mana pihak,” tegasnya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata terkini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mendapatkan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana yang berkenaan, sebelum memberi perkenan terhadap Seksyen 6 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

“Setelah perundangan ini berkuatkuasa di peringkat negeri, barulah negeri meminda Undang-Undang Tubuh atau Perlembagaan Negeri selaras dengan Seksyen 6 Akta A1663 berhubung dengan pindaan Jadual Kelapan, iaitu peruntukan larangan lompat parti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here