Mahkamah tentukan sama ada wujud kes prima facie terhadap kes Zahid esok

0
3

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam esok akan menentukan sama ada pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap 40 tuduhan rasuahdihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Ia berkaitan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN), lapor Berita Harian.

Jika mahkamah memutuskan kes prima facie berjaya diwujudkan oleh pendakwaan, mahkamah akan mengarahkan Presiden Umno itu membela diri terhadap tuduhan berkenaan dan jika sebaliknya, Ahmad Zahid akan dilepas dan dibebaskan.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan dibuat Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.

Antara saksi penting dipanggil memberi keterangan adalah dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here