KKM telah lakukan siasatan klinikal, perawatan dan pemantauan terhadap Najib – Dr Noor Hisham
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengemukakan laporan perubatan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada mahkamah sekiranya perlu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyiasatan klinikal, perawatan dan pemantauan telah dijalankan oleh pihak KKM terhadap Najib yang kini menjalani hukuman penjara.
“Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan. Ini adalah selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara.
“Penyiasatan klinikal, perawatan dan pemantauan telah dijalankan oleh pihak KKM dan laporan perubatan akan dikemukakan kepada mahkamah (atas perintah mahkamah),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, namun pada masa yang sama KKM mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada Mahkamah (sekiranya diarahkan Mahkamah).
Terdahulu, Jabatan Penjara semalam memaklumkan Ahli Parlimen Pekan itu dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur HKL.
Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik saja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.
Sejak beberapa hari lalu tular dakwaan Najib yang dirujuk dengan nama kod ‘Merpati’ menggunakan pelbagai helah licik antaranya dengan alasan sakit, semata-mata mahu keluar dari Penjara Kajang dan duduk di hospital supaya dapat bertemu keluarga serta berjumpa sekutu beliau bagi merancang pelbagai rencana politik.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kes dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost

