Jawatankuasa Khas ditubuhkan tangani isu sindiket penipuan kerja

0
2

MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini memutuskan mewujudkan satu Jawatankuasa Khas dalam menangani isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran sindiket penipuan kerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata penubuhan Jawatankuasa Khas itu membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat.

“Isu ini (sindiket penipuan kerja) telah dibincangkan secara serius dan kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga dan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara.

“Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas pelbagai agensi yang akan diketuai oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menghubungi Kementerian Luar Negeri jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan dan tidak terjebak dengan sindiket penipuan kerja.

Terdahulu semalam, Perdana Menteri datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berikutan terpedaya dengan sendiket penipuan kerja.

Menurutnya, kerajaan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja.

Beliau berkata, usaha-usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada dan kerajaan akan memastikan mereka dibawa pulang dengan selamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here