PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan menganjurkan protes pada Sabtu ini bagi membantah hasrat kerajaan mahu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih awal.
Protes bertemakan ‘Nyawa Dulu Baru PRU’ dijangka diadakan di pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur pada jam 4 petang.
Ahli Jawatankuasa Pusat MUDA, Nurainie Haziqah Shafii berkata himpunan itu melibatkan dua tuntutan utama iaitu mendesak kerajaan menangguhkan PRU15 dan membentang pelan mitigasi banjir.
“Sabtu ini, kita akan adakan protes agar tangguhkan PRU15 kerana tidak patut dilakukan tahun ini.
“Ini sangat tidak bertanggungjawab. Kami juga tuntut langkah pelan mitigasi banjir lebih tersusun sebab masih tiada langkah dari kerajaan,” katanya seperti dilapor Malaysiagazette.
Menurut Nurainie, protes tersebut dibuat berikutan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaan jenteranya meredah banjir jika PRU15 terpaksa diadakan pada musim tengkujuh.
“Desakan agar PRU15 disegerakan bukan demi kepentingan rakyat sebaliknya untuk menyelamatkan Presiden Umno itu daripada pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap BN mengimbas kembali kesukaran rakyat menghadapi tragedi banjir besar pada hujung tahun lepas. – Malaysiapost

