Polis KL rampas 236.88kg syabu bernilai RM8.53 juta

0
3

POLIS Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas merampas 236.88 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM8.53 juta dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Segambut, Sabtu lalu.

Dalam Ops Mojave yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur pada jam 1.30 tengah hari hingga 3 petang itu, keseluruhan lima serbuan dilakukan dan tujuh suspek berusia 24 hingga 47 tahun turut berjaya diberkas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata dalam serbuan di pangsapuri terbabit polis menemui 226 bungkusan dipercayai dadah dan menahan seorang lelaki.

Menurutnya, enam lagi lelaki ditahan melalui serbuan di beberapa negeri iaitu tiga suspek ditahan di Perak, dua di Pulau Pinang dan seorang di Selangor.

“Berdasarkan siasatan, dadah yang dirampas dipercayai diperoleh dari negeri di utara semenanjung Malaysia dan dihantar ke Kuala Lumpur sebelum diedarkan kepada pembeli di sekitar Lembah Klang.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai lalu dan semakan mendapati empat daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau serta lima daripada suspek positif dadah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, empat kenderaan masing-masing jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza bernilai RM424,750 turut disita daripada suspek dengan nilai keseluruhan sitaan harta dan rampasan adalah RM8.96 juta.

“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 473,760 penagih.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJN Bukit Aman dan Kuala Lumpur akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terbabit untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here