PRU15: PAS tak setuju diadakan tahun ini, tidak akan bubar DUN negeri dikuasai

0
3

PAS berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak perlu diadakan pada tahun ini berikutan bencana banjir diramal melanda negara. 

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata wakil PAS dalam kerajaan akan mengemukakan pandangan parti itu supaya PRU15 tidak diadakan pada tahun ini

“PAS berpandangan tidak perlu lagi mengadakan PRU pada tahun ini, terutamanya waktu-waktu dekat banjir. 

“Kita dah tahu banjir, nanti menyukarkan urusan bagi mengurus pilihan raya terbabit,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Dwibulanan Agensi Hal Ehwal Agama di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar.

Mengulas lanjut, Idris berkata PAS juga akan menyampaikan pandangan bahawa pihaknya tidak akan membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga habis penggal pada Mac tahun depan.

“Bagi tiga negeri dikuasai PAS, kita tidak akan bubarkan DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu hingga habis penggalnya Mac tahun depan.

“Itu keputusan parti setakat ini, tidak tahulah kalau ada keputusan lain selepas ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan untuk mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Sebelum itu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabtu lalu, membayangkan tarikh PRU15 semakin hampir dan kemungkinan besar diadakan pada tahun ini. 

Dalam pada itu ditanya mengenai perkembangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355), Idris berkata kertas cadangan RUU berkenaan sudah dihantar kepada Peguam Negara untuk diteliti.

“Kita sudah hantar kepada AG (Peguam Negara) untuk diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut untuk langkah seterusnya ditentukan.

“Kertas terbabit sebelum ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan sudah mendapat kelulusan dasar.

“Kita akan membawa usul RUU 355 ini mengikut lunas dan tertib yang sepatutnya. Ini adalah komitmen kita sejak dahulu lagi untuk memperkasakan Mahkamah Syariah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here