Adakah PAS bakal dikhianati Bersatu? – Asyraf Wajdi

0
3

SIRI pengkhianatan Bersatu akan diteruskan dan mangsanya kali ini berkemungkinan besar adalah PAS.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana Bersatu adalah pencetus idea khemah besar yang berkonsepkan semua parti bergabung dalam satu pasukan untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, menurut Asyraf Wajdi, kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini yang memberi kata dua kepada Bersatu bahawa musuh utama yang perlu ditentang adalah PH dan bukannya BN, menunjukkan bibit-bibit PAS berkemungkinan akan ditikam belakang oleh parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Menarik Kenyataan Setiausaha Agung PAS hari ini! Khemah besar kan idea Tan Sri Muhyiddin? Kalau khemah besar itu musuh utama PAS, adakah PAS sekarang dah anggap Muhyiddin musuh utama mereka juga?

“Mungkin PAS sekarang dah mula faham apa perasaan sebenar Umno dahulu. Kita angkat Bersatu ke puncak kuasa demi rakyat dan negara, tapi mereka mengkhianat dan cuba ‘membunuh’ kita pula!” kata Asyraf menerusi Facebook, hari ini.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, trek rekod yang ditonjolkan Bersatu dalam kancah politik negara seharusnya menjadi peringatan kepada semua parti lain.

“Begitulah ‘ibrah’ yang menjadi pengajaran kepada kita semua. Jangan sesekali berpakat dengan pengkhianat.

“Mereka berpakat dengan PH…. Mereka khianat. Mereka berpakat dengan Umno…. Mereka khianat. Kini mereka berpakat dengan PAS pula…Apakah bakal menjadi mangsa khianat mereka juga?

“Walaupun dah terang-terang PAS tidak mahu khemah besar, mereka tanpa segan silu meng-tongsampah-kan sahaja pendirian parti komponen mereka dengan terus cuba berpakat dengan PH (walaupun PH sendiri tak sudi),” katanya.

Sebelum ini, Bersatu yang masih tidak berputus asa dan menegaskan parti-parti pembangkang patut bekerjasama untuk menewaskan BN pada PRU15.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan, PH tidak sesekali akan menyertai khemah besar anjuran Bersatu apatah lagi kenangan pahit dikhianati Bersatu melalui ‘Langkah Sheraton’ masih membara di hati mereka.

Manakala PAS pula menolak idea khemah besar kerana tidak mahu bersekongkol dengan PH dan DAP.

“Begitulah nasib pengkhianat. Kiri kanan dibenci. Kiri kanan orang pun tak sudi,” kata Asyraf. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here