AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyenaraikan empat sebab mengapa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan pada hujung tahun ini.
Dr Muhammad Faiz mengemukakan alasan itu yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, antara faktor utama termasuk gelombang hujan lebat dan banjir yang dijangka melanda negara pada hujung tahun ini.
“Laporan wakil Jabatan Meteorologi Malaysia seperti yang disiarkan di media massa baru-baru ini mengenai gelombang hujan lebat dan banjir dari November 2022 hingga Mac 2023.
“(Selain itu) hujung tahun juga adalah waktu cuti panjang sebahagian masyarakat kita di mana ada antara mereka berkunjung ke luar negara. Atau bagi Muslim ia juga waktu yang popular untuk ibadat umrah di tanah suci (musim sejuk),” katanya menerusi Facebook.
Malah, Dr Muhammad Faiz menyifatkan kempen pilihan raya umum (PRU) hujung tahun ini akan mengalih perhatian masyarakat terhadap liputan perbicaraan kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang melibatkan beberapa pemimpin politik negara.
“Golongan rakyat B40 terutama orang muda yang berniaga sendiri perlu sekurang-kurangnya hingga awal tahun depan untuk pulih dari kemelut ekonomi yang memberi impak terhadap kesihatan kewangan mereka.
“Yang mana hujung tahun sinonim dengan waktu untuk berjimat dan banyak perbelanjaan untuk menghadapi kemungkinan bencana (banjir) dan persediaan sesi baru persekolahan anak-anak/ semester bagi yang menanggung kos pelajaran,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.
Susulan itu, Ismail Sabri mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ Umno berhubung pembubaran Parlimen termasuk membawa perkara berkenaan ke Mesyuarat Kabinet, esok. – Malaysiapost

