UiTM cakna isu penempatan mahasiswa

0
2
logo uitm

PIHAK Universiti Teknologi MARA (UiTM) prihatin dengan isu penempatan mahasiswa yang dikatakan sukar mendapatkan rumah sewa terutamanya di kawasan yang berdekatan dengan kampus.

Dalam satu kenyataan hari ini, UiTM memaklumkan susulan itu, sebuah Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa telah dibentuk untuk bertindak serta-merta mencari resolusi terbaik bagi membantu mahasiswa yang sukar mendapatkan rumah sewa.

“Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa sedang meneliti dan menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi dengan cara terbaik serta berharap kepada semua mahasiswa agar kekal tenang dalam menghadapi situasi sekarang,” menurut kenyataan itu.

UiTM turut memaklumkan telah mewujudkan portal rumah sewa Non Residen (NR) UiTM (https://nr.uitm.edu.my (https://nr.uitm.edu.my/)) bagi membantu memudahkan urusan mahasiswa mendapatkan rumah sewa.

“Selain untuk mencari rumah sewa, platform ini juga boleh digunakan untuk tujuan pengiklanan rumah sewa oleh tuan rumah.

“Dalam konteks ini, pengurusan Non Residen (NR) UiTM turut membuat tinjauan secara berkala yang berkaitan dengan isu keselamatan, kontrak perjanjian sewa rumah dan kebajikan mahasiswa NR,” katanya.

Menurut UiTM lagi, pada masa sama, pihak universiti juga menyediakan 107,000 tempat di kolej-kolej kediaman, dengan penawaran 34,000 tempat kepada pelajar baharu Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, 52,000 tempat kepada pelajar yang layak secara merit mengikut polisi penempatan UiTM dan 21,000 tempat kepada pelajar yang sedang merayu kolej kediaman.

Menurutnya, permohonan rayuan kolej boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Rayuan Kolej yang dibuka mulai 13 September hingga 23 September dan keputusan permohonan e-Rayuan Kolej akan dikeluarkan mulai 28 September ini.

“Tawaran kolej kediaman untuk pelajar yang sedang membuat rayuan adalah tertakluk kepada beberapa kriteria iaitu polisi penempatan UiTM, pelajar semester akhir dari keluarga berpendapatan di bawah RM2,000, pelajar Sabah dan Sarawak dari keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 dan pelajar semester akhir dari keluarga kategori B40,” katanya.

Katanya, pihak UiTM akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan tidak akan mengambil mudah dengan sebarang perkara terutama yang mendatangkan kesulitan kepada mahasiswa serta warganya.

Baru-baru ini tular di media sosial perkongsian keluarga pelajar yang mendapat tawaran belajar di UiTM bagi kemasukan Oktober ini dan menghadapi ‘mimpi ngeri’ apabila pelajar berkenaan tidak mendapat kemudahan kolej kediaman.

Pelajar daripada keluarga B40 dari Utara tanah air itu dikatakan tidak mempunyai kenderaan sendiri dan menghadapi cabaran besar untuk mendapatkan rumah sewa dalam tempoh tidak sampai sebulan termasuk perlu menyediakan deposit sebanyak RM9,000 untuk rumah sewa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here