Pemimpin Umno gerun dengan GTA, perjuangan Dr Mahathir – Khairuddin

0
2

PEMIMPIN Umno semakin gentar dengan penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) serta wadah perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan itu, berkata strategi politik Dr Mahathir sentiasa digeruni oleh pemimpin Umno dan mereka selalunya ‘takut pada bayang-bayang’ sendiri.

Katanya, ketakutan Umno itu dapat dilihat apabila pemimpin Umno termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ‘membuka mulut’ dan melatah berhubung GTA.

“Apabila Puad Zarkashi buka mulut dan memberi tindak balas mengenai GTA ianya membawa erti bahawa pemimpin-pemimpin Umno semakin gementar dengan wadah Dr Mahathir.

“Bila majoriti daripada pemimpin-pemimpin Umno melatah ianya memberi satu petanda baik kepada GTA pada realitinya,” katanya menerusi kenyataan.

Khairuddin berkata, lazimnya pemimpin Umno akan bersikap ‘diam seribu bahasa’ sekiranya sesuatu isu itu tidak memberi kesan kepada mereka.

“Bila Puad Zarkashi mula membuka mulutnya mengenai GTA ini membawa erti Umno amat terkesan dengan gabungan ini. Puad Zakarshi boleh cakap apa saja kerana itu adalah hak beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin juga mempersoalkan kredibiliti Mohd Puad berbanding Dr Mahathir yang mempunyai pengalaman yang cukup luas.

“Sekali kalah tidak bererti kita akan kalah selamanya dan sekali gagal pun tidak bererti kita akan gagal buat selamanya juga.

“Sebenarnya, kami sudah bangkit dan bersedia untuk menghadapi apa saja cabaran masa kini GTA telah mendapat sambutan serta reaksi positif dari majoriti orang-orang Melayu,” katanya.

Khairuddin juga berkata, pihaknya amat yakin dapat menarik lebih daripada 25 peratus pengundi atas pagar untuk menyokong GTA pada PRU15 nanti.

“Majoriti daripada orang-orang melayu serta kaum lain masih yakin dengan mutu kepimpinan bertaraf dunia Dr Mahathir,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Puad menyifatkan penubuhan GTA adalah sama taraf dengan ‘janji 100 hari’ yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan.

Malah, katanya, GTA sebenarnya adalah hala tuju Dr Mahathir dan bukannya hala tuju gabungan itu sepertimana di uar-uarkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here