Tun M syok sendiri nak jadi PM kali ketiga – Rafizi Ramli

0
2

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad hanya ‘syok sendiri’ apabila mengatakan ramai yang mahu beliau menjadi Perdana Menteri dan menerajui negara sekali lagi.

Menurutnya, berdasarkan data yang diperoleh pihaknya setiap bulan hasil kaji selidik mendapati nama Ahli Parlimen Langkawi itu tidak tersenarai langsung dalam carta untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas pilihan raya akan datang.

Beliau menegaskan data sebelum menghadapi pilihan raya adalah sangat penting dalam mengetahui denyut nadi rakyat sebenar.

Rafizi berkata, denyut rakyat yang sebenar adalah bukan dari orang atau penyokong sendiri atau pun syok sendiri, ia mesti datang daripada orang yang tidak ambil tahu pasal politik pun.

“Sebab itu data apabila dibuat dengan cara yang betul akan membantu kita untuk jalan yang betul. Itu syarat pertama zaman ini untuk memang pilihan raya.

“Mana-mana parti yang nak menang pilihan raya mestilah ada kelebihan data, tidak boleh masuk pilihan raya dengan syok sendiri sebab kita rasa kita hebat.

“Kalau tidak kita akan jadi Tun Mahathir yang sekarang nak jadi Perdana Menteri Kali ketiga. Syok sendiri saya rasa,” katanya ketika berucap merasmikan aplikasi CISTA, di ibu negara kelmarin.

Menurutnya, rata-rata rakyat tidak mahu bekas Perdana Menteri itu kembali menerajui negara.

“Sebab saya yakin dan ada data tiap-tiap bulan tanya siapa yang rakyat Malaysia nak lantik jadi Perdana Menteri. Tun Mahathir tak masuk carta langsung. Kalau 100 orang kita tanya tak sampai dua orang yang kata nak Tun Mahathir jadi Perdana Menteri.

“Jadi biarlah kat dia macam itu..kerana dia tidak memahami bahawa keperluan menyelami denyut nadi rakyat itu hanya datang daripada kelebihan strategi menguasai data yang kita cuba bina dalam PKR sekarang,” katanya.

PKR baru-baru ini memperkenalkan aplikasi CISTA yang dibangunkan mengguna data sains dan matematik dengan mewajibkan setiap cabang menjalankan kempen pilihan raya khususnya bagi mendekati pengundi atas pagar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here