DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan penganalisis politik, Prof Wong Chin-Huat yang menyatakan ramai penduduk Sabah dan Sarawak berharap kedua-dua negeri ditendang keluar dari Malaysia seperti dilakukan kepada Singapura.
Sambil mengecam keras kenyataan tersebut, Mohamad Khaled yang juga Naib Presiden Umno berkata atas dasar dan kepercayaan yang tidak disandarkan kepada fakta, Chin Huat mengusulkan pula strategi yang kononnya akan menyebabkan Sabah dan Sarawak tidak disukai.
“Malah beliau menyarankan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggesa dan menuntut perkara yang kononnya bersifat Borneo seperti sekularisme, kemajmukan dan pengurangan kuasa pusat.
“Sedangkan perkara ini bukanlah sesuatu yang eksklusif kepada Malaysia Timur atau tidak dihormati dan diangkat di negara kita.
“Sebagai seorang aktivis politik, beliau seharusnya tahu, seruan seperti itu bukan sahaja akan menyemarakkan sentimen kenegerian yang melunturkan semangat kebangsaan dan persekutuan, malah, tidak pun memfokuskan kepada isu sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata isu-isu besar di Sabah dan Sarawak harus diselesaikan dengan memastikan agenda pembangunan di kedua-dua negeri diterjemah dengan lebih berkesan, bukannya dengan keluar dari Malaysia.
“Sepatutnya, yang disarankan adalah idea bagi memastikan pembangunan semua wilayah di Malaysia lebih setara, mencari jalan mengukuhkan nilai kebersamaan dan mencadang mekanisme untuk membolehkan hubungan Persekutuan-Negeri menjadi lebih baik.
“Mengapi-apikan sentimen keluar dari Malaysia dan mengaitkan segala ketidakpuasan hati rakyat di lapangan dengan Umno bukanlah satu pendekatan matang dan progresif.
“Saya harap, golongan bijak pandai seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengutarakan pendapat. Janganlah menangguk di air keruh. Berhenti menyeru kepada perpecahan dan pemisahan.
“Sumbangkan idea dan pandangan yang boleh menjadikan negara dan masyarakat kita lebih baik secara keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

