KKM kesan 5 lagi kluster baharu

0
2

LIMA lagi kluster baharu dikenalpasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu dua di Sabah serta masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sarawak dan Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster baharu di Sabah ialah Kluster Tujuh Serangkai di Tuaran dan Kluster Tanamera di Tawau.

Bagi Kluster Tujuh Serangkai, katanya, kes indeks iaitu kes ke-11,569 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 5 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

“Saringan kontak rapat mengenalpasti 22 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari tadi, 325 individu telah disaring iaitu 23 kes dikesan positif; dan 302 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Tanamera pula bermula dari kes indeks iaitu kes ke-12,868 yang dikenal pasti hasil saringan bergejala pada 29 September dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau.

Katanya, saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif dengan 13 individu telah disaring, satu individu negatif serta tiga masih menunggu keputusan.

Sementara itu, katanya, Kluster Jalan Pantai dikenal pasti di daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang mana kes indeks iaitu kes ke-14,265 dan kes ke-14,266) dikesan positif pada 8 Oktober hasil saringan bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif Covid-19. Setakat hari ini 15 individu disaring dengan tujuh individu masih menunggu keputusan.

“Kluster Bah Arnab di Sarawak pula dikenal pasti di Kuching, Sarawak yang mana kes indeks iaitu kes ke-13,488 dikesan positif pada 7 Oktober hasil saringan pulang dari Sabah.

“Saringan kontak rapat telah mengesan tiga lagi kes positif Covid-19. Sejumlah 20 individu telah disaring iaitu empat dikesan positif dan 16 individu negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Bah Bangat di Labuan pula membabitkan kes indeks iaitu kes ke-12,377 yang dikesan positif pada 3 Oktober hasil saringan pulang Sabah.

Katanya, saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif dan setakat ini 45 individu telah disaring iaitu 32 individu negatif; dan empat masih menunggu keputusan,” katanya. – Malaysiapost