‘King’ kenderaan pertama cemar rekod bersih SUKE

0
3

BARU dibuka tiga hari untuk pengguna jalan raya, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) sudah merekodkan kemalangan pertama melibatkan sebuah Perodua Myvi kuning dengan motosikal.

Kemalangan kira-kira jam 2.45 petang semalam dilaporkan berpunca apabila Perodua Myvi berkenaan berhenti di lorong kecemasan untuk menikmati pemandangan dan mengambil gambar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata kejadian berlaku berhampiran Tol Bukit Teratai.

Katanya, siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang berhenti itu dilanggar sebuah motosikal jenis Suzuki yang datang dari arah sama.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal cedera di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan.

Justeru, Mohamad Farouk menasihati orang ramai untuk tidak berhenti di lorong kecemasan jika tiada sebarang perkara keperluan atau kecemasan.

Beliau menegaskan, berhenti di lorong kecemasan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikompaun sehingga RM300.

Selain itu, tindakan individu yang sewenang-wenangnya berhenti di lorong kecemasan boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here