PRU15 di musim tengkujuh, usaha bantu banjir pasti terjejas – Syed Saddiq

0
3

USAHA membantu mangsa banjir pasti terjejas sekiranya ketika itu berlangsung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sehubungan itu beliau membidas desakan Umno dan Barisan Nasional (BN) agar PRU15 diadakan tahun ini juga yang mengikut ramalan Jabatan Metrologi akan berlaku hujan lebat dan banjir besar pada November ini.

“Sifirnya sangat mudah. Presiden Umno sendiri yang kata BN sanggup redah banjir/hujan lebat jika PRU diadakan pada tahun ini.

“Sekarang dah hujung September. MetMalaysia pun dah ramal banjir besar penghujung November. So apa yang metafora?

“Jangan kita lupa, masa PRU, fokus mereka mencari undi. Macam mana nak fokus tolong rakyat yang terjejas dengan banjir?” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu turut mengimbas tragedi banjir pada 18 Disember lalu.

“Kita tengok apa jadi tahun lepas, lebih 50 rakyat kehilangan nyawa, 500,000 terkandas atau terjejas. Kerugian RM6.5 billion dicatat dalam masa 10 hari sahaja.

“Tahun lepas sahaja pun kita nampak sendiri, menteri sibuk berhimpun, potong kek dan tengok persembahan bunga api pada masa sama rakyat tengah tenggelam dalam banjir.

“Dah terserlah tak kisah nasib Rakyat, nak tipu dan nafikan lagi?” soalnya.

Syed Saddiq mengulas kenyataan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang berkata, kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu adalah bagi menjelaskan kesiapsiagaan Umno menghadapi sebarang kemungkinan setelah tewas pada PRU ke-14 lalu.

“Kenyataan Presiden itu adalah metafora, ia adalah kiasan yang nak menggambarkan yang kita benar-benar sudah bersedia menghadapi PRU,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilapor berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here