TEMPOH tahanan reman ke atas suami ejen jualan kosmetik yang diculik oleh tiga lelaki di kediamannya pada Selasa lalu, disambung selama tiga hari lagi sehingga 20 September ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perintah sambungan tahanan reman bermula hari ini itu diluluskan Mahkamah Majistret Tumpat bagi membantu siasatan lanjut berhubung kehilangan wanita berkenaan yang dikenali sebagai Azi, 36.
“Selain suami mangsa, tahanan reman itu turut disambung ke atas dua lagi suspek termasuk seorang wanita.
“Sebelum ini, kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan berhubung kes tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tumpat, Asisten Superintenden Md. Sani Md. Saleh di talian 012-921 6944 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Yudi Mohd. Yusuf di talian 012-968 9698,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, Rosnazirah Mohd Naim, 36, disyaki dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios oleh beberapa lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu.
Motif penculikan didapati berpunca dengan suami mangsa yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah. – Malaysiapost

