PEMUDA Barisan Nasional (BN) menyatakan tekad bersedia berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika ianya diadakan dalam masa terdekat.
Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pergerakan itu akan memastikan mereka terus bersedia menghadapi PRU15 walaupun Parlimen dibubarkan esok.
Katanya, tiada zaman pemuda BN sebelum ini yang boleh dibandingkan dengan generasi pemuda BN kini kerana kita sudah merasa menjadi pembangkang.
“Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob nak isytihar bubar, esok pun kami sedia. Kita sudah melalui proses ini selama empat tahun lebih, motivasi dan semangat kami sudah sampai ke tahap maksimum.
“Saya bersama pemimpin-pemimpin parti turun ke 191 bahagian dan melihat sendiri kesiapsiagaan di semua bahagian itu. Saya boleh kata pemuda BN sudah bersedia untuk menghadapi PRU15,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, kejatuhan Pakatan Harapan (PH) selepas menjadi kerajaan selama 22 bulan bukan disebabkan BN, tetapi oleh kerana ‘duri dalam daging’ sendiri.
“Kena ingat, semua pencacai-pencacai di luar sana yang kononnya mendakwa kita bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan PH.
“Betul, Pemuda BN memainkan peranan mendesak itu dan ini tetapi kena ingat balik yang menjatuhkan mereka adalah mereka sendiri.
“Dasar DNA pengkhianat, lari daripada kita masuk kesana mengkhianat juga. Kalau ikutkan kita mempunyai pendirian jelas, kita mahukan PRU15 dan sepakat mahu pulangkan mandat kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan laungan ‘Bubar’ bergema di Stadium Titiwangsa ketika Perdana Menteri memulakan ucapan sempena pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional 2022.
“Saya dengar dengan jelas, ‘top 5’ pun ada di sini, timbalan (Mohamad Hasan) ada di sini, semua ada di sini. Dalam waktu terdekat kita akan berjumpa untuk bincang (tarikh pilihan raya umum),” kata Ismail Sabri.
Kata-kata Naib Presiden Umno itu kemudian mendapat sorakan Pemuda BN yang secara jelas mahukan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
“Kalau beginilah semangatnya, sikit lagi…tak lama lagi,” katanya.
Ismail Sabri bagaimanapun mengingatkan jentera Pemuda BN tidak terlalu gopoh mendesak PRU diadakan, agar sejarah hitam pada PRU14 tidak berulang kali ini. – Malaysiapost

