POLIS memburu tiga lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai makan di Bandar Baru Menglembu, Ipoh yang rakaman video kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan, mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu semalam pada jam 6.36 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati, kes ini berlaku pada 16 September, jam lebih kurang 6.22 petang berhampiran sebuah kedai makan di Bandar Baru Menglembu, Ipoh.
“Dalam kejadian ini, seorang lelaki warganegara asing telah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan akibat dipukul oleh tiga lelaki warga tempatan menggunakan kayu dan kerusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis sudah mengenalpasti identiti suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan sedang giat mengesan ketiga-tiganya yang masih bebas.
“Polis ingin meminta kerjasama daripada orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut.
“Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Amy Crystal Anak Barahen Tahir di talian 014-390 9719 untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata. – Malaysiapost



