Malaysia suarakan kebimbangan konfilk di Nagorno-Karabakh 

0
2

MALAYSIA menyeru semua pihak yang terbabit dalam konflik yang berlaku di Nagorno-Karabakh, wilayah yang menjadi perebutan antara tentera Azerbaijan dan Armenia agar menyambung semula rundingan secara aman.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) melalui satu kenyataan hari ini, menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di kawasan yang kini bergolak dan mengorbankan lebih 150 nyawa setakat ini.

“Malaysia menyeru semua pihak yang terbabit agar bertenang dan menyambung semula rundingan secara aman serta mengelakkan konflik bertambah buruk dengan mencari penyelesaian dalam mengembalikan keamanan berpanjangan di rantau itu.

“Malaysia sentiasa menunjukkan sokongan berdasarkan empat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta forum pelbagai hala Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM),” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, Malaysia juga sentiasa menyokong resolusi dan inisiatif oleh OIC dan PBB dalam konflik membabitkan Nagorno-Karabakh.

“Malaysia turut mengundi menyokong ‘Resolution 62/243: The Situation in the Occupied Territories of Azerbaijan’ yang diterima pakai pada 14 Mac 2008 pada sesi ke-62 Perhimpunan Agung PBB.

“Resolusi itu selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan dengan isu penyelesaian konflik secara aman berdasarkan menghormati integriti wilayah dan larangan mencabuli sempadan wilayah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here