Kereta potong barisan milik Exco Johor

0
2

POLIS mengesahkan kenderaan yang memotong barisan di Tongkang Pechah merupakan kenderaan milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaannya kepada Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan video tular pada Rabu lalu memaparkan sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam bernombor pendaftaran JDT9 melakukan kesalahan potong Q.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kesalahan berlaku pada Isnin (12 September) sekitar jam 9.45 pagi di Jalan Tongkang Pechah Batu Pahat.

“Hasil semakan mendapati, kereta tersebut milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon.

“Pemandu kenderaan terbabit telah dipanggil ke IPD Batu Pahat pada jam 3.30 petang pada Jumaat dan tindakan saman dikenakan di bawah Rule 6(1) LN 166/59,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memetik Sinar Harian, Tian Soon ketika dihubungi mengakui kesilapan terbabit dan memohon maaf atas kejadian itu.

Jelasnya, semasa kejadian beliau berada dalam kereta terbabit dan dalam perjalanan dari Yong Peng ke Batu Pahat.

Sebelum itu, seorang pengguna jalan raya sempat merakamkan kejadian terbabit sebelum video berdurasi 24 saat itu tular di media sosial sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Video itu kemudiannya disiarkan di media sosial seperti World of Buzz sekali gus mengundang pelbagai kritikan orang ramai yang mahukan pihak polis mengambil tindakan terhadap pemandu kereta terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here