Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth ll

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke United Kingdom (UK), London hari ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September lalu.

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK selama enam hari bermula hari ini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua berlepas pada jam 10.30 pagi tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri Istiadat Penghormatan Terakhir dan Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth ll di London.

Menurutnya, Istiadat Penghormatan Terakhir dijadualkan berlangsung pada 18 September, manakala Istiadat Pemakaman Negara pada 19 September ini.

“Dalam rangka lawatan Khas ke London, UK yang bermula hari ini hingga 21 September ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Baginda Raja Britain, Raja Charles lll, yang dijadualkan berlangsung pada malam 18 September ini.

“Agong juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua negara asing ketika berada di London sempena lawatan khas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ekoran daripada lawatan khas itu juga, maka Lawatan Negara Seri Paduka Baginda berdua ke Singapura selama tiga hari yang telah dijadualkan bermula 19 September 2022 ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Seri Paduka Baginda mempunyai hubungan yang baik dengan Baginda Raja Charles lll dan persahabatan ini telah terjalin sejak lebih empat dekad lalu.

“Baginda berdua, antaranya pernah bermain bersama dalam sukan polo berkuda, bermula zaman remaja, di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, mengimbau kembali kenangan bertemu mendiang Baginda Ratu Elizabeth ll, Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama mendiang di Istana Buckingham, London pada 13 Disember 2019.

Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu bersempena Lawatan Khas Seri Paduka Baginda berdua ke England selama tujuh hari, bermula 9 Disember 2019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here