MESYUARAT Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dijadualkan semula pada 30 September ini selepas jadual asal pada jam 8 malam esok dibatalkan.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mesyuarat itu dibatalkan susulan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno terbabit dengan Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA).
“Dimaklumkan bahawa Mesyuarat Khas MKT Umno yang dijadualkan pada hari Sabtu 17 September 2022 jam 8 malam adalah ditangguhkan.
“Perdana Menteri terlibat dengan Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada malam itu.
“Tarikh baru mesyuarat ialah pada hari Jumaat 30 September 2022 jam 8 malam yang merupakan mesyuarat penuh MKT Umno,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut memaklumkan kesemua pimpinan Umno adalah dijemput untuk menghadiri Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia yang bermula jam 2 petang, hari sama di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.
Malaysiapost semalam melaporkan, perjumpaan lima pemimpin tertinggi atau ‘Top 5’ Umno bagi membincangkan berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijadualkan esok ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Ismail Sabri Yaakob, berkata penangguhan itu susulan pemakluman daripada Setiausaha Agung Umno bahawa Mesyuarat Khas MKT yang sepatutnya diadakan pada hari sama ditangguhkan.
‘Top 5’ Umno merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri. – Malaysiapost

