Demi masa hadapan Umno, BN kena bergerak solo – Khir Toyo

0
2

LANGKAH Umno dan Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dilihat sebagai strategi untuk mengukuh kedudukannya pada masa hadapan.

Dr Mohamad Khir Toyo berkata, kelangsungan Umno dan BN dalam kancah politik negara bukan hanya untuk PRU-15 semata-mata, sebaliknya tindakannya pada hari ini penting untuk mengukuhkan kedudukannya pada masa hadapan.

Justeru, bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan tindakan Umno bertanding secara solo atas tiket BN pada PRU-15 ini dapat menguji kekuatannya yang sebenar.

“Ada orang bertanya kenapa Umno nak pergi solo? Saya nak beritahu pertamanya, kita nak menang pilihan raya akan datang dan pilihan raya seterusnya.

“Kalau Umno pergi solo kita akan tahu kelemahan kita. Tapi kalau kita bergabung parti hari ini kita tak akan tahu kelemahan kita. Apa pun Umno berhasrat menjadi kerajaan yang tunggal satu hari nanti macam dulu balik.

“Jadi dengan cara pergi solo kita akan mengetahui kelemahan kita melalui pilihan raya akan datang. Jadi yang akan datang PRU ke-16 dan ke-17 kita cukup bersedia untuk membentuk kerajaan tunggal seperti dulu. Ini di antaranya,” katanya kepada Malaysiapost.

Menurutnya, ahli Umno mesti meletakkan kepercayaan penuh kepada setiap tindakan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berhempas pulas memastikan Umno terus hidup sebagai parti orang Melayu.

“Tapi kalau pergi hari ini kita dah gabung bahagi-bahagi kerusi kita tak tahu kat mana kita kuat, kat mana kita lemah. Jadi macam mana kita nak tubuh kerajaan tunggal di masa akan datang?

“Ini yang kita kena fikirkan, sebab itu bila Presiden buat keputusan dia telah memikirkan bukan sahaja untuk PRU ke-15, dia telah memikirkan sebenarnya ke-16, ke-17.

“Sebab itulah, kita kena berlapang dada dan selepas pilihan raya kita tengok siapa yang dominan dia akan tubuh kerajaan. Mungkin ketika itu kita boleh bersama dengan PAS tubuh kerajaan, mungkin bersama dengan parti-parti yang lain,” katanya.

Dr Mohamad Khir berkata, Umno dan BN akan menghadapi kesukaran pada pilihan raya seterusnya sekiranya bekerjasama dengan parti lain seperti Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 ini.

“Tapi keputusan untuk pergi solo itu baik untuk Umno walaupun kurang baik untuk PRU-15, tapi ia akan beri impak yang besar untuk pilihan raya umum ke-16 sebab kita tahu kelemahan kita. Parlimen mana yang kita lemah, parlimen mana yang kita kuat.

“Kita memang berniat nak tubuh kerajaan macam dulu balik BN. Kita nak kerajaan yang betul-betul solid yang boleh memimpin negara ke arah kestabilan dan membina ekonomi lebih baik di masa akan datang. Itu di antara yang presiden fikir sebenarnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here