Mummy rindu suara, gelak ketawa, ceria daddy – Nooryana

0
2

KESUNYIAN tanpa suami di sisi yang menjadi ketua keluarga selama ini kian terasa buat Datin Seri Rosmah Mansor.

Nooryana Najwa berkongsi keadaan ibunya itu yang dilihat menanggung kerinduan terhadap bapanya Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun ketika ini.

“Daddy tidak ada di sisi kami, tidak di rumah lagi kini.

“Saya cuba menemani Mummy sebanyak mungkin, mengubati rindunya dengan kekosongan di rumah…adakalanya waktu tidur juga supaya katil di sebelah Mummy tidak rasa kosong sangat,” luahnya di laman Instagram miliknya.

Dalam perkongsian itu, Nooryana turut memuat naik sekeping foto ibunya sedang menunaikan solat subuh di rumahnya.

“Sempat mengambil gambar ini waktu Subuh tadi. Mummy seorang isteri yang sangat merindui suara, gelak tawa, keceriaan, suaminya di sisi.

“Seorang ibu yang kini memikul tanggungjawab ketua rumah kami buat sementara waktu, dan pada masa sama juga memperjuangkan keadilan buat dirinya.

“Seorang nenda yang sentiasa cuba memikirkan bagaimana menjawab soalan cucunya apabila ditanya “di mana atuk?”, katanya.

Nooryana turut mengakui ibunya sentiasa menjadi tulang belakang bapanya sepanjang menjadi ahli politik.

“Seorang yang memahami perjuangan dan laungan Bossku, sentiasa berada di sisinya sepanjang masa ini, waktu suka dan dukanya,” katanya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula 23 Ogos lalu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng dana SRC International. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here