TUJUH lelaki ditahan dan enam kenderaan mewah disita dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) arah selatan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kesemua individu berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan anggota dan pegawai dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang operasi tersebut pada jam 2 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menahan dua lelaki yang disyaki penganjur perlumbaan serta lima yang lain kerana memandu secara melulu dan berbahaya (berlumba) serta menyita enam kenderaan.
“Semua yang ditahan bersama kenderaan yang disita kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd Zaid, lima lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala dua lelaki yang bertindak sebagai penganjur disiasat mengikut Seksyen 81(3) akta yang sama.
“Enam kenderaan terdiri daripada sebuah Nissan GTR, BMW, Mercedes Benz, Toyota Vellfire dan dua Honda disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tujuan siasatan.
“Pihak polis masih membuat siasatan lanjut untuk mengetahui sama ada terdapat pihak lain yang terbabit dan kita sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) dan 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya JSPT komited membanteras sebarang aktiviti perlumbaan haram atau pemanduan yang merbahaya kerana boleh mendatangkan risiko kepada semua pengguna jalan raya.
” Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian sebegini boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan ,” katanya. Malaysiapost

