Umno tidak akan berhenti perjuang keadilan untuk rakyat Palestin – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pertemuannya dengan wakil Hamas minggu lalu, membuktikan hubungan akrab Malaysia khususnya Umno dalam perjuangan rakyat Palestin.

Ahmad Zahid berkata, pertemuaan yang diketuai Timbalan Ketua Perhubungan Luar Hamas, Osama Hamdan itu berlangsung di Yayasan Al Falah.

“Ia membuktikan hubungan akrab Malaysia khususnya Umno dalam perjuangan rakyat Palestin atas nama agama serta kemanusian tidak akan ada titik noktahnya.

“Delegasi Hamas hadir ke Pejabat Yayasan Al-Falah Country Heights Kajang dan isteri saya, Datin Seri Hamidah Khamis turut bersama saya dalam pertemuan itu,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pada Mei 2019, bekas Ketua Hamas Khaled Mishal juga pernah singgah ke Country Heights yang turut disertai Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Pada Mei lalu saya turut berkesempatan bertemu Menteri Wakaf dan delegasi Ulama Palestin semasa acara Muslim Scholar Summit di Movenpick Hotel Sepang. Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali juga hadir.

“Pada Jun 2022, atas jemputan Duta Besar Palestin saya berkesempatan bertemu 13 duta negara-negara Arab bagi membincangkan usaha memperjuangkan kebebasan bumi Palestin dari cengkaman Zionis,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan keyakinan hubungan dua hala berkenaan akan sentiasa kukuh.

“Kita tidak akan berhenti melaungkan keadilan untuk rakyat Palestin yang berdepan kezaliman serta penindasan tentera Zionis Israel,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here