TINDAKAN Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun meletak jawatan susulan video dimuat naik di media sosialnya yang didakwa mempersendakan wanita, disifatkan terlalu beremosi.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata menerusi video itu, dapat dilihat tujuan sebenar Rina adalah mempromosi program di bawah KPWKM namun Hannah pula berfikir sebaliknya dan tidak terbuka.
“Apa tujuan sebenar Hannah Yeoh menggesa Rina meletak jawatan hanya kerana sebuah video yang mempromosikan program di bawah KPWKM.
“Seorang manusia yang jelas akal fikirannya dapat menginterpretasikan video tersebut bertujuan mempromosi program dan bukan memperlekeh wanita seperti dicanang Hannah yang cetek pemikiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KPWPM di bawah kepimpinan Rina merupakan antara kementerian yang konsisten dalam memperjuangkan hak-hak wanita tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
“Antara kejayaan yang sudah tentu meninggalkan kesan di hati rakyat adalah penganjuran program Wanita Bangkit untuk membantu ekonomi wanita Malaysia pasca Covid-19, di mana ia memberi manfaat kepada hampir 55,000 individu berkelayakan,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata, hal ini tidak terjadi semasa kepimpinan Hannah yang sekadar menumpang populariti, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menerajui KPWKM ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, tular video memaparkan Rina bersama pegawai KPWKM berada di belakang pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor yang didakwa mempersenda golongan wanita dengan menggunakan ayat kurang sopan seperti ‘suka bangun lambat’, ‘wanita semua lambat’, ‘aku nak belasah kepala korang’.
Klip pendek itu bersempena Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula hari ini. – Malaysiapost

