Jangan lupa tangisan, tautan ukhwah PAS, Umno – Pemuda PAS

0
2

PEMUDA PAS mengingatkan semua pihak dalam Umno dan PAS agar tidak melupakan perdamaian serta tautan ukhwah yang dimeterai antara kedua-dua parti menerusi Muafakat Nasional (MN).

Ingatan itu dimuatnaik di Facebook rasmi Pemuda PAS Malaysia sempena ulang tahun ketiga pembentukan kerjasama kedua-dua parti menerusi piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara pada 15 September 2019.

“Jangan pernah kita lupa tangisan perdamaian dan tautan ukhwah di antara kita!

“Tanggal 14 September 2019 mencatat satu detik sejarah penting dalam perjalanan politik tanah air apabila termeterainya Piagam MN yang menyatukan dua parti politik Melayu Islam terbesar iaitu Umno dan PAS secara rasmi dalam Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 di WTC.

“Ayuh bersatu wahai umat Islam, hindarilah perpecahan dan perbalahan! InsyaAllah kita akan terus melangkah gagah demi negara Malaysia yang lebih sejahtera,” tulis hantaran itu.

Pada himpunan itu tiga tahun lalu, Piagam MN dimeterai Umno dan PAS antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Piagam itu ditandatangani Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun hubungan kedua-dua parti semakin dingin, antara lain didakwa sejak PAS memilih untuk bersama Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here