Majlis Peguam kurang ajar, cuba bagi tekanan pada Agong

0
3

MAJLIS Peguam diingatkan jangan bersikap melampau dan kurang ajar dalam mempersoal isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata kenyataan dikeluarkan Majlis Peguam semalam dianggap melampau, serta seakan memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong agar tidak mengurniakan pengampunan. 

“Ini sudah kurang ajar. Kita hormatlah. Tuanku tahulah nak ampun ke, tak nak ampun ke, pertimbangan baginda. 

“Sebab itulah baginda Agong, baginda ketua negara. Kalau kita nak ajar baginda, satu hari nanti bila baginda buat satu-satu keputusan kita akan pertikaikan. 

“Kalau raja-raja Melayu dipertikaikan sampai begitu sekali, apa nak jadi negara ini?” soalnya dalam rakaman video menerusi Facebook, hari ini. 

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah semalam yang menyatakan, pengampunan diraja terhadap Najib akan dianggap tindakan mempersendakan prinsip keluhuran undang-undang dan sistem keadilan di negara ini. 

Zaid turut mempersoalkan motif pihak tertentu yang melancarkan serangan bertubi-tubi sejak dua minggu lalu berhubung isu pengampunan diraja terhadap Najib. 

Beliau yang juga peguam sekali lagi mengingatkan bahawa prerogatif belas kasihan dan pengampunan adalah soal peribadi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu. 

Sementara itu, Zaid memberi perbandingan tentang situasi di negara lain di mana bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi pengampunan kepada 70 kontraktor Blackwater yang terlibat dalam pembunuhan kejam 17 rakyat Iraq termasuk kanak-kanak di Baghdad pada 2006. 

“Tak ada orang kata sistem keadilan AS terjejas kerana mereka menghormati itulah kuasa pengampunan yang diberi kepada ketua negara. 

“Yang saya sedih, tekanan yang dibuat kepada Agong sudah melampau, seolah-olah ini satu tekanan supaya pengampunan tidak diberi,” jelasnya. 

Dalam masa sama, menerusi rakaman berdurasi lebih tujuh minit itu, Zaid turut meminta Umno bertegas dalam isu pengampunan terhadap Najib agar parti itu tidak dilihat takut kepada Majlis Peguam dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. 

Zaid berkata, Umno perlu bersikap demikian supaya tiada pihak bertindak melampau mempertikatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. 

“Ini yang saya bimbang, budaya kurang ajar ini kalau kita tidak bendung, kalau Umno dilihat lemah, saya tak tahu apa akhirnya akan berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here