Langgar syarat lesen, 2 pekerja sangkar ikan ditahan 

0
3

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua pekerja sangkar ikan di kedudukan 0.18 batu nautika selatan Pulau Jerejak, Pulau Pinang semalam kerana disyaki melanggar syarat sah Lesen Kultur Laut.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata penahanan itu dibuat berikutan pemeriksaan rutin anggota penguatkuasa bot ronda melalui Op Pertiwi ke atas bot sangkar ikan bernombor PPF (R) 102 pada jam 9.15 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada pekerja sangkar ikan itu adalah warga Nepal, manakala seorang lagi adalah warga tempatan dengan kedua-duanya berusia 31 dan 40 tahun. 

“Pekerja sangkar warga Nepal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

“Kedua-duanya kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kan disiasat memgikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah Lesen Kultur Laut iaitu tidak menggunakan 100 peratus pekerja warganegara kecuali dengan kelulusan Pengarah Perikanan Malaysia dan warganegara asing bekerja di tempat yang bukan tertera pada permit kerja bot.

“Maritim Malaysia menegaskan kepada semua pemilik sangkar ikan agar tidak sesekali menggajikan warga asing tanpa kebenaran. 

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pemilik sangkar ikan gagal mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here