MoU PH-Kerajaan: Lebih 83% berjaya dilaksanakan selepas setahun

0
3

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan yang genap setahun, semalam telah berjaya dilaksanakan sebanyak 83 peratus perkara-perkara yang disepakati.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata 13 September tahun lalu adalah tarikh keramat dan bersejarah apabila MoU itu dimeterai bagi membentuk kerjasama dwipartisan ke arah reformasi institusi negara.

“Kesemua transformasi yang dilakukan ini adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih stabil selain membuktikan kepada rakyat yang PH mampu mengetepikan sentimen politik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Hasilnya, beberapa pindaan perlembagaan telah dapat dilakukan dan ia tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya MoU ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyenaraikan hasil pencapaian MoU berkenaan, antaranya Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen pada 28 Julai lalu yang juga kemenangan terbesar buat rakyat serta satu titik permulaan baharu sistem demokrasi negara.

“Pewartaan Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik; moratorium B50; pembaharuan Parlimen melalui pemerkasaan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen; peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Fahmi yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu MoU berkenaan berkata, banyak lagi transformasi dan reformasi institusi yang boleh dilakukan sekiranya peluang dan mandat rakyat diberikan sekali lagi kepada PH. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here