Konsultasi Bajet 2023: Tengku Zafrul jumpa pemimpin PH

0
3

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan pertemuan dengan wakil Pakatan Harapan (PH) semalam, untuk sesi konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya, semalam.

Tengku Zafrul berkata, MOF sentiasa sentiasa terbuka dalam mendapatkan cadangan dan pandangan daripada semua pihak, tanpa mengira latar belakang, bangsa, mahupun fahaman politik.

“Terima kasih kepada wakil-wakil Pakatan Harapan yang hadir semalam untuk sesi konsultasi #Bajet2023 di MOF.

“MOF sentiasa bersifat terbuka dalam mendapatkan cadangan dan pandangan daripada semua pihak, tanpa mengira latar belakang, bangsa, mahupun fahaman politik,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sejak beliau menerajui MOF pada 2020, sesi konsultasi bersama parti pembangkang sentiasa dilaksanakan.

“Terutama sekali bagi merangka polisi-polisi negara, untuk memastikan semua suara didengari dan diteliti demi kesejahteraan semua KeluargaMalaysia.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang hadir. InsyaAllah, MOF akan meneliti semua cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul mengadakan sesi konsultasi Bajet 2023 bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan wakil kerajaan negeri bagi memastikan belanjawan yang dibentang bulan depan adalah bersifat inklusif.

Beliau berkata, MOF berusaha melakukan yang terbaik untuk mencapai matlamat apabila menerima cadangan dan saranan.

Justeru, katanya semua pihak berhak untuk menyuarakan pendapat dan MOF akan sentiasa mendengar serta bersedia untuk mempertimbangkannya kerana prinsip itu telah diterapkan sejak dari Belanjawan 2021 apabila beliau dan timbalannya bertemu dengan pelbagai pihak, termasuklah pihak pembangkang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here