Draf RKK Tasik Chini jamin kelestarian khazanah alam – Wan Rosdy

0
2

Kerajaan Negeri Pahang telah menyiapkan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tasik Chini (Pengubahan) yang akan digunakan sebagai garis panduan bagi sebarang pembangunan di Tasik Chini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berharap Draf RKK Tasik Chini itu akan dapat menjamin kelestarian khazanah alam berkenaan.

Beliau berkata, draf berkenaan disediakan selaras dengan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Kerajaan Negeri Pahang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri yang bersidang semalam, telah dimaklumkan berkenaan Draf RKK Tasik Chini (Pengubahan) yang telah siap disediakan serta cadangan untuk mengadakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam pada Oktober tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, menerusi Draf RKK Tasik Chini (Pengubahan) ini, beberapa perkara utama telah diambil kira iaitu antaranya cadangan pengubahsuaian sempadan baharu Rizab Biosfera Tasik Chini, iaitu daripada 6,951.44 hektar kepada 9,142.62 hektar.

“Kajian RKK Tasik Chini (Pengubahan) adalah seluas 55,586.12 hektar iaitu mengambilkira ‘threshold’ area.

“Cadangan pengubahsuaian selaras dengan pewartaan baharu Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini berkeluasan 6,502.8 hektar di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan kajian juga mengambilkira rangkaian ekologi ‘Central Forest Spine’,” katanya.

Beliau berkata, Draf RKK Tasik Chini juga adalah dengan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang.

Selian itu beliau berkata, Zon Rizab Biosfera Tasik Chini meliputi Zon Utama (Core Zone), Zon Penampan (Buffer Zone) dan Zon Peralihan (Transition Zone) sebagaimana keperluan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), manakala kawasan threshold dinamakan sebagai Zon Pinggiran Biosfera.

“Draf berkenaan juga mengandungi cadangan pengubahsuaian strategi pengurusan alam sekitar dengan penambahbaikan kepada Pelan Sensitif Alam Sekitar dan cadangan pengubahsuaian pengurusan dan pelaksanaan.

“Saya berharap dengan adanya Draf RKK Tasik Chini (Pengubahan) ini, ia akan menjadi satu panduan kepada Kerajaan Negeri dan juga pihak berkuasa tempatan agar sebarang bentuk pembangunan di Tasik Chini hendaklah dilaksanakan tanpa menjejaskan kelestarian khazanah alam ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here