Gulai asam rong terkenal di Jerantut

0
3

Ben Ibrahim

GULAI asam rong sangat terkenal di Pahang Barat, terutamanya di daerah Jerantut.

Menggunakan biji getah sebagai antara ramuan utama, gulai asam rong boleh dianggap sebagai menu eksotik bagi penggemar masakan tradisional Pahang.

Cara menggunakan biji getah dalam masakan gulai asam rong memerlukan kemahiran tertentu yang hanya dimiliki penduduk sekitar Jerantut dan daerah lain yang berada di Pahang Barat.

Keistimewaan gulai asam rong adalah kerana ia dihasilkan menggunakan biji getah ditumbuk halus dan diperam hingga bertukar warna, daripada putih kepada coklat kehitaman.

Hidangan ini sangat membangkitkan selera apabila dimasak bersama ikan kenerak iaitu spesis ikan sungai berkulit tebal dan bertompok, yang turut digelar ikan komando.

Asam rong diperbuat daripada biji getah boleh bertahan berbulan-bulan lamanya jika diletakkan dalam bekas kedap udara dan disimpan dengan betul.

Tukang masak tersohor gulai asam rong di Jerantut, Zaharah Sohar, 61, ketika ditemui berkata masakan itu bukan sahaja digemari penduduk setempat, tapi turut menjadi pilihan peminat ikan sungai dari luar daerah dan negeri Pahang.

Zaharah Sohar

“Gulai asam rong ini jika dimasak dengan ikan lain kurang menjadi, kerana mudah hancur berbanding ikan kenerak kerana isinya lebih pejal.

“Penyediaan bahan untuk memasak gulai asam rong juga agak rumit dan memakan masa, kerana jika ia tidak dimasak dengan sempurna, boleh mengakibatkan sakit perut.

“Antara keunikan lain gulai asam rong ialah bahan tambahannya yang terdiri daripada campuran cili padi dan pelbagai jenis sayur seperti pucuk paku, terung manggur, terung telunjuk, keladi, bunga kantan, daun kesum, kacang botol, jering, petai dan keledek.

“Paling istemewa ialah tahap kepedasan gulai asam rong, bukan pedas yang biasa-biasa tetapi pedas menyengat. Tak pedas tak sedap. Lagi pedas, lagi orang suka,” katanya yang terkenal dengan panggilan Mak Anjang.

Zaharah berkata, gulai asam rong paling sesuai dimakan bersama nasi putih panas dan ulaman yang dicicah dengan sambal tempoyak.

Seorang lagi pakar masakan gulai asam rong, Naimah Mat Addin, 55, dari Kuala Tembeling, Jerantut berkata, tempoh menyiapkan gulai itu agak lama berbanding masakan lain.

Naimah Mad Addin

“Asam rong perlu ditumbuk bersama kunyit dan cili padi, perlu dimasak dahulu hingga mendidih menggunakan api sederhana sebelum ikan kenerak dimasukkan dalam gulai.

“Apabila ikan sudah masak, barulah kita masukkan sayuran seperti pucuk paku, keledek, terung pipit, terung telunjuk, keladi dan kacang botol, jering dan garam, ” katanya.

Beliau kini melatih anaknya, Nor Fatihah Mohd Sabirin untuk menguasai teknik memasak gulai asam rong yang betul.

Naimah berkata, tiada petua khusus untuk menghasilkan gulai asam rong kerana bahan paling penting ialah asam rong itu perlu diperam dengan baik dan menambahkan cili padi sebanyak mungkin untuk meningkatkan tahap kepedasan mengikut selera masing-masing. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here