Polis kawal rapi kawasan nahas helikopter

0
3
Polis Di Raja Malaysia

POLIS mengawal rapi kawasan nahas helikopter jenis Eurocopter EC120B yang mengakibatkan juruterbangnya maut dan ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Hutan Simpan Chikus, Bidor, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya mengatur kawalan rapi itu sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan berkenaan bermula hari ini dan helikopter terbabit kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bedah siasat juruterbang yang maut itu telah dijalankan hari ini pada jam 9 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Pihak polis juga dimaklumkan bahawa isteri mangsa masih berada di luar negara dan dijangka tiba di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.

Mohd Yusri turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan SAR bagi mengesan helikopter yang dilaporkan hilang itu.

“Terima kasih kepada seluruh agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan operasi menyelamat dan mengesan mangsa nahas ini atas kerjasama yang diberikan.

“PDRM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu sebuah helikopter dengan seorang juruterbang dilaporkan hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi Ahad lalu.

Helikopter jenis Eurocopter EC120B, pendaftaran N409 HH dikendalikan Heli Outpost Sdn Bhd dijadualkan untuk mendarat pada 12:37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Pesawat berkenaan, bagaimanapun gagal dihubungi oleh pada 12.16 tengah hari dengan koordinat terakhir dikesan berhampiran Hutan Simpan Chikus, Perak.

Operasi SAR yang dilancarkan berjaya menemui helikopter berkenaan dan juruterbangnya, Kapten Zee Khin Richard Chan, 58, warga Hong Kong yang disahkan maut dalam nahas berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here