KETUA Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu di Pahang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri yang diterajui Umno.
Menurutnya, Adun-Adun berkenaan tetap bekerja dengan penuh komitmen walaupun tidak menerima peruntukan dan layanan sewajarnya.
“Tahniah juga kepada Adun-Adun Pas di Pahang yang masih terus bekerja dengan penuh komitmen sekalipun tidak diberikan peruntukan oleh kerajaan negeri Pahang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata keadaan itu berbeza dengan layanan diberikan kepada wakil rakyat Umno di negeri-negeri diterajui Pas.
Menurutnya, kerajaan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetap memberi layanan baik kepada Adun-Adun Umno di negeri berkenaan termasuk menyalurkan peruntukan dan memberi jawatan dalam Exco Kerajaan Negeri.
“Tahniah kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu yang terus menyalurkan peruntukan kepada Adun-Adun Umno sekalipun kerajaan tetap utuh tanpa sokongan Adun Umno.
“Tahniah juga kepada kerajaan Kedah yang terus mengekalkan kedudukan seorang Adun Umno dalam barisan Exco Kerajaan Negeri.
“Dan seorang lagi sebagai Pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sekalipun jika tanpa sokongan dua Adun tersebut, kerajaan Kedah tetap mempunyai majoriti,” sindirnya.
Dalam pilihan raya pada 2018, Pas memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, manakala Umno/Barisan Nasional (BN) meraih 25 kerusi dan akatan Harapan (PH) sembilan kerusi.
Adun-Adun Pas di Pahang adalah Rosli Abdul Jabar (Tanjung Lumpur), Andansura Rabu (Beserah), Tarmizi Yahya (Panching), Mohd Sufian Abdul Jalil (Luit), Mujiburahman Ishak (Chenor), Shahril Azman Abdul Halim (Jengka), Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (Tahan) dan Zuridan Daud (Damak). – Malaysiapost

