DATUK Seri Najib Razak yang dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur sejak semalam, mungkin dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.
Perkara tersebut disahkan peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika prosiding kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau berkata, tekanan darah Najib dilaporkan tidak menentu malah puncanya masih belum diketahui.
“Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan dan keputusan pemeriksaan itu akan diketahui beberapa hari lagi,” katanya.
Semalam, Najib dilaporkan akan dirujuk ke Hospital Kajang kerana mengalami masalah kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sri Ram berkata, Najib akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menerusi hantaran di media sosial telah mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan rawatan yang terbaik kepada bekas Perdana Menteri itu.
Beliau turut mendoakan Najib supaya diberikan kesihatan yang baik.
“Saya telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Najib Razak. Saya telah mengarahkan KKM supaya memberikan rawatan yang terbaik diperlukan beliau.
“Saya doakan beliau diberikan kesihatan yang baik,” tulisnya. – Malaysiapost

