KKM sahkan Najib dirawat pada 9 September 

0
3
najib razak

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan telah melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap Datuk Seri Najib Razak pada 9 September lalu dan disahkan berada dalam keadaan sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemeriksaan kesihatan ke atas bekas Perdana Menteri itu telah dilaksanakan pakar perubatan bertauliah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan sihat boleh ‘discharge’.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari Jumaat, 9 September 2022 sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.   

“Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan pakar perunding kanan bertauliah terdiri daripada Ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.  

“Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj dari HKL,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Menjelaskan mengenainya, Dr Noor Hisham berkata, pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang telah dihadiri Najib dan ahli keluarganya.  

“Keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang ini mengikut amalan profesional kedoktoran. Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL.  

“Dimaklumkan juga bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM,” jelasnya.  

Dr Noor Hisham turut menegaskan, KKM sentiasa komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).  

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada Mahkamah sekiranya diarahkan Mahkamah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here