Dafi nafi berlakon Malbatt Misi Bakara atas ‘tiket’ anak PM 

0
2

PENYANYI dan pelakon, Dafi Ismail, menafikan diambil membintangi filem Malbatt Misi Bakara atas ‘tiket’ bapanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Menurut pelakon berusia 33 tahun itu, sebelum ini dia sudah bekerjasama dengan pengarah filem tersebut, Adrian The menerusi produksi Ada Hantu. 

“Kami pernah bekerjasama dalam filem Ada Hantu dan ia merupakan projek pertama saya bersama Adrian. Hubungan baik itu sudah ada dan mungkin dia lihat kesesuaian watak, jadi saya ditawarkan berlakon dalam filem terbarunya. 

“Dia percaya saya boleh memberikan komitmen penuh dan itu yang membuatkan Adrian memberikan tawaran ini,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook. 

Dafi berkata, biarpun dia adalah anak kepada Perdana Menteri namun tidak pernah meminta diberikan layanan istimewa disebabkan statusnya itu. 

Katanya, dia juga tidak akan menolak jika menerima layanan yang baik kerana memandang ia dari sudut yang positif. 

“Saya harap orang tidak salah anggap. Saya tidak pernah rasa diri ini mempunyai keistimewaan hanya kerana saya anak Perdana Menteri. Saya pun tidak minta diberikan layanan istimewa. 

“Tetapi, jika ada pihak yang memberikan layanan yang baik, saya bersyukur.  Orang nak beri layanan baik, takkan kita nak tolak. Saya lebih suka melihat perkara ini dari sudut positif,” katanya. 

Berkongsi pengalaman berlakon dalam filem itu, Dafi mengakui cabaran beraksi dalam Bakara agak sulit melakonkan watak sebagai tentera. 

“Walaupun watak saya tidak terlalu berat, ia tetap menguji mental dan fizikal saya. Terus-terang, sewaktu menerima tawaran ini, saya fikir panjang. 

“Untuk melakonkan watak askar bukan senang dan saya tidak mahu mencacatkan filem orang. Saya bersyukur kerana barisan pelakon lain banyak membantu, termasuk pengarah. 

“Saya seronok mengikuti latihan di kem tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum penggambaran dimulakan. Saya sebenarnya memang sukakan aktiviti luar, cuma orang sahaja yang tidak tahu,” katanya. 

Filem Malbatt Misi Bakara mencipta rekod sebagai filem tempatan termahal yang pernah dihasilkan apabila kos pembikinannya menelan belanja sebanyak RM20 juta. 

Filem ini akan membawa penonton menyelami keberanian anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia. 

Dibintangi Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi dan ramai lagi, filem yang turut mendapat kerjasama enam syarikat penerbitan termasuk Astro Shaw ini dijangka menemui penonton tahun hadapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here