Tiada nama Tajuddin dalam senarai duta baharu 

0
2

TEKA-TEKI mengenai status Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar baharu ke Indonesia terjawab akhirnya, hari ini.  

Perkara itu disahkan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang berkata, kesemua 24 ketua perwakilan baharu hanya melibatkan pegawai diplomat. 

Beliau berkata, tiada calon daripada kalangan tokoh politik tertentu yang dinamakan untuk memegang jawatan itu. 

“Senarai calon pesuruhjaya tinggi dan duta besar baharu itu termasuk ke Indonesia dengan kesemua mereka hanya melibatkan kalangan pegawai diplomat kita sendiri,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.  

Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kosong selepas Datuk Zainal Abidin Bakar yang dilantik pada 21 Mac 2019 bersara wajib pada 4 April 2021 

Pada mulanya, nama Tajuddin disebut sebagai pengganti kerana pernah menyertai lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke republik itu pada tahun lalu. 

Bagaimanapun, nama beliau tidak disebut dalam senarai empat penerima watikah pelantikan rasmi duta baharu daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 12 Julai lepas. 

Mengulas mengenainya, Saifuddin berkata, kesemua 24 nama calon itu sudah melalui tapisan akhir di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan hanya menunggu masa untuk kelulusan rasmi. 

“Setelah itu, nama mereka akan dihantar pula kepada negara terbabit untuk pertimbangan muktamad dan setelah lulus, baru disahkan untuk menerima watikah pelantikan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan senarai berkenaan tidak melibatkan duta baharu ke Amerika Syarikat bagi menggantikan Datuk Azmil Mohd. Zabidi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here